us

us

Sunday, February 26, 2012

Wahai anak bangsa......

      Admin terpanggil untuk mengutarakan permasalahan ini ketika sedang menyelesaikan rutin hujung minggu di desa tercinta. Waktu itu admin asyik menikmati kelembutan angin petang di balik terik sang suria. Melintas di depan admin 3 orang budak yang pada jangkaan admin berumur dalam lingkungan 6 ke 8 tahun. Mereka berbicara sesuatu dengan bersemangat tapi apa yang enak didengar ialah panggilan tambahan di belakang setiap ayat. Sebagai contoh, "aku taulah, n****g".
     Sebenarnya ini bukanlah sesuatu yang pelik pada masa kini tapi admin ingin mengulas secubit cuma. Banyak lagi perkataan lain yang biasa digunakan. Kadang terfikir juga mungkin ini 'standard' komunikasi sekarang. Adakah kebiasaan ini wujud atas kebiasaan orang dewasa? Ya, harus diingat orang dewasa lagi hebat bahasanya. Kalau Pak Imam dengar bahasa mereka sudah tentu menggeleng kepala. Admin tidak maksudkan semua tapi yang nyata memang ramai kelompok begini. Kalau ditanyakan kepada rakan-rakan, pasti jawapan mereka "normal la tu". (Mungkin jawapan admin pun begitu, hehehe). 
    Apakah tiada penyelesaian untuk ketidaksopanan ini? Atau kita hanya menurut kejadian akhir zaman? Jawapan sebenarnya terletak pada kita semua. Kanak-kanak, orang dewasa mahupun orang tua, ingatlah firman Allah dalam Surah Ar-Ra'd ayat 11:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ”

 Wahai anak-anak muda, jangan biarkan agama dan negara kita diperlekehkan atas ketidakcaknaan kita sendiri. Wasalam...

P/S Dapat inspirasi dari lagu ini Youth of the Nation

Thursday, February 23, 2012


Selamat ulangtahun kelahiran diucapkan kepada Ustazah Sanisah binti Mat Saad yang akan menyambutnya esok hari iaitu 24 Februari 2012. Semoga pertambahan usia seiring kecekalan semangat dan kematangan dalam usaha mendidik anak bangsa. Selamat Hari Lahir....

Thursday, February 16, 2012


Belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir buat Cikgu Zaleha binti Ahmad yang telah menyambutnya pada 15 Februari yakni semalam. Moga dikurniakan kesihatan dan kemurahan rezeki yang berpanjangan hendaknya.

KEJOHANAN MERENTAS DESA SKBG 2012
9 FEBRUARI 2012 

Aturcara pertama pada hari tersebut adalah semua murid berkumpul di dataran perhimpunan.  Taklimat awal diberikan oleh Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Cikgu Mohamad Zaid dan Cikgu Razali Abdullah yang mana murid tahap 2 akan berlari merentas desa manakala murid pra dan tahap 1 akan mengambil bahagian dalam acara merentas padang. Kemudian seorang pelajar tahun 6 iaitu Mohd Syafiq Zulhilmi ditugaskan untuk mengetuai sesi memanaskan badan. 
Selesai memanas badan, semua murid tahap 2 bergerak ke pintu belakang sekolah manakala yang lain ke padang sekolah. Peserta perempuan dilepaskan dahulu oleh Tuan Guru Besar, Cikgu Mohd Ranai Ismail dan kemudiannya barulah peserta lelaki.  Untuk kejohanan kali ini terdapat sedikit perbezaan laluan sejauh 5.7 kilometer dan melibatkan empat buat kampung. Laluan bermula dari Kampung Bukit Guntong melalui Kampung Banggol Binjai ke Kampung Padang Pisang dan Kampung Jeram Hulu. Seterusnya masuk semula ke Kampung Banggol Binjai dan ditamatkan di Kampung Bukit Guntong iaitu di sekolah.
Komitmen dari guru-guru, guru KAFA dan kakitangan sekolah  pada kejohanan kali ini jelas membanggakan. Beberapa orang cikgu ditugaskan menjaga empat penanda pemeriksaan manakala sebahagiannya pula meronda menggunakan kereta, motosikal dan juga basikal. Guru-guru yang mengajar Tahap Satu pula bertugas untuk acara di padang sekolah. Selain itu juga pihak sekolah telah meminta bantuan dari pihak Polis Diraja Malaysia untuk melancarkan lagi acara kerana terdapat laluan yang melibatkan kawasan pembinaan jalan.
Tamat acara sahaja, peserta diberikan minuman yang telah disediakan sementara menunggu acara penyampaian hadiah dijalankan. Seperti biasa, kantin sekolah menjadi venue penyampaian hadiah yang mana dimulakan dengan Pra Sekolah dan sehinggalah ke Tahun 6. Kemuncak  acara ialah penyampaian piala pusingan bagi rumah sukan yang mengumpulkan mata tertinggi. Dan pemenangnya adalah Rumah Merah dengan pungutan markah sebanyak 374 diikuti tempat kedua bersama Rumah Hijau dan Kuning sebanyak 307 markah dan tempat ketiga pula Rumah Biru dengan 272 markah.

Akhir kata, jutaan diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

“MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA”

Tuesday, February 14, 2012



SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1433H
7 FEBRUARI 2012
( 14 RABIUL AWWAL 1433H)

Seawal pukul 7.40 pagi, kelihatan semua pelajar beratur tersusun di dataran perhimpunan sambil mendengar wadah-wadah azimat daripada Ustaz Mohd Noor bi Salleh mengenai perarakan pada tahun ini. Ternyata ada sinar semangat pada wajah semua pelajar untuk meraikan ulangtahun junjungan besar Rasulullah Alaihissalam. Keterampilan busana islamik yang mana lelaki segak berbaju melayu siap bersongkok dan bersampin manakala perempuan berjubah atau berbaju kurung menyerlahkan lagi kemeriahan sambutan. Usai taklimat, Ustaz Mohd Khairuddin bin Wahab mengetuai selawat sebagai pemula acara.

Kemudian semua murid serta guru bergerak turun ke pintu belakang sekolah dan kemudiannya beratur sepanjang jalan dimulai dengan Pra Sekolah hingga ke Tahun 6. Laungan selawat ke atas Nabi Muhammad diperdengarkan menggunakan kereta Ustaz Mohd Noor, Cikgu Amran bin Che Harun dan Ustazah Rosmani binti Mamat.  Guru-guru mengawasi setiap kumpulan murid untuk memastikan keselamatan dan kelancaran perarakan. Turut serta dalam perarakan ialah Tuan Guru Besar, Cikgu Mohd Ranai bin Ismail dan Pengerusi PIBG, Haji Ibrahim bin Salleh.
Biarpun cuaca pada pagi tersebut sedikit panas, namun tidak sedikit pun melemahkan semangat semua peserta perarakan yang berjalan menuju ke padang bola Kampung Banggol Binjai. Setelah semua pelajar bekumpul di padang, mereka semua berarak semula pulang ke sekolah sambil ucapan selawat tidak lekang di bibir.
Sampai di sekolah, semua pelajar dibenarkan rehat dan dibekalkan roti setiap orang. Kemudiannya mereka berkumpul di kantin untuk sesi ceramah sementara menantikan kedatangan penceramah yang dijemput khas untuk majlis tersebut.
Majlis yang dipengerusikan oleh Ustazah Fatimah Hazliza binti Mohd Hajazi dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Khairuddin Wahab dan diikuti oleh ucapan aluan oleh Tuan Guru Besar. Beliau sempat mengingatkan tentang sifat-sifat mulia Rasulullah iaitu "siddiq", "amanah", "tabligh","fatonah".
Seterusnya pentas utama diambil oleh kumpulan nasyid sekolah yang telah mengalunkan sebuah lagu yang bertajuk ‘Ya Nabi Salamun Alaika” diiringi dengan muzik oleh Cikgu Amran bin Che Harun.

Penceramah yang diundang pada hari tersebut ialah Ustaz Ahmad Jauzy bin Abdul Rahman, Imam Masjid Al-Ikhlas Banggol Tuan Muda. Nampaknya penceramah mampu menarik perhatian pelajar dengan gaya penyampaiannya serta kelunakan suara dalam menyanyikan lagu nasyid dan mengalunkan ayat suci Al-quran. Unsur jenaka yang diterapkan juga membuatkan guru dan pelajar tak kering gusi. Dan akhir sekali sebagai tanda penghargaan oleh pihak sekolah, Tuan Guru Besar telah menyampaikan cenderahati kepada penceramah.
Sekalung ucapan syabas kepada semua guru dan kakitangan sekolah yang telah menjayakan sambutan tahun ini. Tidak dilupakan juga buat guru-guru KAFA yang sudi membantu serta ucapan terima kasih buat anggota-anggota polis dari Balai Polis Tepoh.  Majlis bersurai pada pukul 12.30 tengahari. Terima kasih semua.

"PERPADUAN ASAS PERPADUAN UMMAH"

Sunday, February 12, 2012


Salam ulangtahun kelahiran buat Cikgu Nor Aini binti Mohd Amin yang telah menyambutnya hari ini. Kami semua di SKBG mendoakan agar cikgu dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan dimurahkan rezeki selalu hendaknya. Selamat hari lahir....

Thursday, February 9, 2012



Hari ini bertarikh 9 Febuari, merupakan hari kelahiran Cikgu Shabariah binti Yunus. Moga beliau dikurniakan kesihatan seadanya dan dimurahkan rezeki serta tabah dalam menghadapi hari yang mendatang. Selamat Hari Lahir...

Thursday, February 2, 2012



Selamat hari ulangtahun buat Cikgu Wan Sazareni binti Wan Ahmad. Moga sentiasa dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Malah ucapan ini juga ditujukan kepada Cikgu Yusnida binti Ghani yang akan menyambut hari lahir esok hari (3 Febuari 2012). Selamat hari lahir semua...