SAMBUTAN MAULIDUR
RASUL 1433H
7 FEBRUARI 2012
( 14 RABIUL AWWAL
1433H)
Seawal pukul 7.40 pagi, kelihatan semua pelajar beratur tersusun di
dataran perhimpunan sambil mendengar wadah-wadah azimat daripada Ustaz Mohd
Noor bi Salleh mengenai perarakan pada tahun ini. Ternyata ada sinar semangat
pada wajah semua pelajar untuk meraikan ulangtahun junjungan besar Rasulullah
Alaihissalam. Keterampilan busana islamik yang mana lelaki segak berbaju melayu
siap bersongkok dan bersampin manakala perempuan berjubah atau berbaju kurung
menyerlahkan lagi kemeriahan sambutan. Usai taklimat, Ustaz Mohd Khairuddin bin
Wahab mengetuai selawat sebagai pemula acara.
Kemudian semua murid serta guru bergerak turun ke pintu belakang
sekolah dan kemudiannya beratur sepanjang jalan dimulai dengan Pra Sekolah
hingga ke Tahun 6. Laungan selawat ke atas Nabi Muhammad diperdengarkan
menggunakan kereta Ustaz Mohd Noor, Cikgu Amran bin Che Harun dan Ustazah
Rosmani binti Mamat. Guru-guru mengawasi
setiap kumpulan murid untuk memastikan keselamatan dan kelancaran perarakan.
Turut serta dalam perarakan ialah Tuan Guru Besar, Cikgu Mohd Ranai bin Ismail
dan Pengerusi PIBG, Haji Ibrahim bin Salleh.
Biarpun cuaca pada pagi tersebut sedikit panas, namun tidak sedikit pun
melemahkan semangat semua peserta perarakan yang berjalan menuju ke padang bola
Kampung Banggol Binjai. Setelah semua pelajar bekumpul di padang, mereka semua
berarak semula pulang ke sekolah sambil ucapan selawat tidak lekang di bibir.
Sampai di sekolah, semua pelajar dibenarkan rehat dan dibekalkan roti
setiap orang. Kemudiannya mereka berkumpul di kantin untuk sesi ceramah sementara menantikan kedatangan penceramah yang dijemput khas untuk majlis tersebut.
Majlis
yang dipengerusikan oleh Ustazah Fatimah Hazliza binti Mohd Hajazi dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Khairuddin Wahab dan diikuti oleh
ucapan aluan oleh Tuan Guru Besar. Beliau sempat mengingatkan tentang sifat-sifat mulia Rasulullah iaitu "siddiq", "amanah", "tabligh","fatonah".
Seterusnya pentas utama diambil oleh
kumpulan nasyid sekolah yang telah mengalunkan sebuah lagu yang bertajuk ‘Ya
Nabi Salamun Alaika” diiringi dengan muzik oleh Cikgu Amran bin Che Harun.
Penceramah yang diundang pada hari tersebut ialah Ustaz Ahmad Jauzy bin
Abdul Rahman, Imam Masjid Al-Ikhlas Banggol Tuan Muda. Nampaknya penceramah mampu
menarik perhatian pelajar dengan gaya penyampaiannya serta kelunakan suara
dalam menyanyikan lagu nasyid dan mengalunkan ayat suci Al-quran. Unsur jenaka
yang diterapkan juga membuatkan guru dan pelajar tak kering gusi. Dan akhir
sekali sebagai tanda penghargaan oleh pihak sekolah, Tuan Guru Besar telah
menyampaikan cenderahati kepada penceramah.
Sekalung ucapan syabas kepada semua guru dan kakitangan sekolah yang telah menjayakan sambutan tahun ini. Tidak dilupakan juga buat guru-guru KAFA yang sudi membantu serta ucapan terima kasih buat anggota-anggota polis dari Balai Polis Tepoh. Majlis bersurai pada pukul 12.30
tengahari. Terima kasih semua.
"PERPADUAN ASAS PERPADUAN UMMAH"
No comments:
Post a Comment