us

us

Sunday, March 20, 2011

MAJLIS PERSARAAN CIKGU  MOHD NOR BIN MUDA
MANTAN PENOLONG KANAN 1 SK BUKIT GUNTONG
10 MAC 2011


Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, tak kira bersifat sementara mahupun yang abadi. Seandainya ia sementara, sematkan dalam sanubari bahawa silaturrahim yang tejalin akan mekar selamanya.


Cetusan kata-kata dia atas sinonim dengan majlis anjuran Kelab Guru dan Kakitangan SKBG iaitu Majlis Persaraan Cikgu Mohd Nor bin Muda yang merupakan bekas Penolong Kanan 1 di sekolah ini. Majlis bemula seawal jam 10 pagi dengan ketibaan beliau yang dibawa menaiki kereta Cikgu Mohd Zuki bin Ibrahim dan ditemani oleh Cikgu Amran bin Mohammad serta Tuan Haji Mohd Zawawi bin Tuan Sidek. Manakala di hadapan pagar sekolah telah siap sedia Tuan Guru Besar bersama barisan guru serta pengawas dan pengawas perpustakaan menyambut ketibaan yang dirai.



Usai tiba di hadapan pintu pagar sekolah, Tuan Guru Besar, Cikgu Mohd Ranai bin Ismail memakaikan tenggolok dan keris sebagai simbolik sambutan. Kemudian beliau diarak menuju ke kantin sekolah dengan diiringi paluan kompang dan bunga manggar.


Cikgu Mohd Nor kemudian dibawa untuk jamuan dengan ditemani oleh Tuan Guru Besar, PK HEM dan PK KO sambil diringi oleh dikir barat oleh pelajar-pelajar di bawah pimpinan Cikgu Amran bin Che Harun yang membawakan lagu ‘Dikir Puteri’ serta lagu ‘Pelangi Petang’.

Selesai jamuan, jemputan terhormat dan pentadbiran atasan sekolah naik ke pentas untuk acara seterusnya yang dipengerusikan oleh Puan Ros Zawati binti Hamzah dan  Encik Fadzimee. Sebagai tanda memohon rahmat dari Yang Esa, Ustaz Mohd Noor bin Salleh mengetuai bacaan doa. Kemudian diteruskan dengan ucapan aluan dari Pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan iaitu Cikgu Amran bin Mohammad. Seterusnya Tuan Guru Besar menyampaikan amanat beliau serta menjadi wakil kepada Pengerusi PIBG sekolah. Saat dinanti iaitu ucapan dari yang dirai, Cikgu Mohd Nor dengan diselitkan kronologi karier beliau sepanjang berkhidmat sebagai pendidik.

Majlis dimeriahkan lagi dengan dendangan lagu ‘Doa Perpisahan’ oleh barisan guru lelaki dan ternyata komitmen mereka menarik perhatian hadirin. Sebagai penutup acara, penyampaian cenderahati oleh setiap aliran, panitia-panitia, kelab guru dan kakitangan kepada Encik Mohd Nor yang kemudiannya diarak untuk majlis bersalaman dan mengiringi kepulangan beliau.  Senyuman dan lambaian dari semua warga SK Bukit Guntong mengiringi kepulangan Cikgu Mohd Nor.


Kepada Cikgu Mohd Nor bin Muda, kami di SKBG mengucapkan jutaan terima kasih atas segala sumbangan yang telah disemai di sekolah ini. Semoga cikgu sentiasa dikurniakan kebahagiaan dan kesejahteraan dalam menjalani kehidupan selepas ini.



******* TERIMA KASIH CIKGU *******

No comments:

Post a Comment