HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN MURID 2013
Majlis kemuncak tahunan ini bermula seawal jam 8.30 pagi
dengan ketibaan jemputan dan sesi pendaftaran. Ia kemudiannya disusuli dengan
ketibaan dif-dif terhormat iaitu Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Razif bin Abd.
Rahman, Pengerusi Jawatnkuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi
Hijau & Air Negeri Terengganu merangkap ADUN Seberang Takir. Turut hadir
ialah Encik Mohamad bin Muda, Penyelia Unit Sekolah Rendah JPNT dan Haji Shafie
bin Muda, Naib Yang Dipertua PIBG sekolah.
Sebagaimana yang sebaiknya, majlis dibuka dengan bacaan doa
yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Noor bin Salleh. Seterusnya Tuan Guru Besar
dijemput untuk memberikan ucapan aluan. Antara isi kandungan ucapan beliau
ialah tentang perkembangan sekolah sepanjang tahun. Pengacara majlis pada hari
tersebut iaitu Ustazah Fatimah Hazliza binti Mohd Hajazi dan Ustaz Mohd
Khairuddin bin Wahab kemudiannya menjemput YB Dato’ Haji Ahmad Razif bin Abd.
Rahman untuk menyampaikan ucapan. Beliau menceritakan tentang kepentingan guru
serta pengalamanya dan seterusnya merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan SKBG
2013.
Selesai perasmian, hadirin dihiburkan dengan persembahan
nasyid yang bertajuk ‘HambaMu’ oleh murid-murid tahun 2. Penyampaian hadiah pun
bermula untuk Pra Sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 yang disampaikan oleh PK KO,
Puan Nor Azyan Aminah binti Othman, PK 1 iaitu Puan Mashitah binti Ibrahim dan
Haji Shafie bin Muda. Majlis diteruskan dengan pertandingan pertunjukan fesyen
murid.
Kemudian diikuti penyampaian hadiah untuk Tahun 3 dan 4
serta Anugerah Akademik Khas untuk KAFA, NILAM, LINUS dan Intervensi yang
disampaikan oleh Encik Mohamad bin Muda. Untuk Anugerah Pelajar Paling Banyak
Membaca tahap 1 iaitu Nur Azwa Safrina binti Hamidi dan tahap 2 iaitu Abdullah
Al-Amin bin A. Bakar, masing-masing membawa pulang sebuah basikal. Manakala
untuk Anugerah Khas Nilam dimenangi oleh Anis Suriyanie binti Besar.
Bagi meredakan suasana, hadirin diperdengarkan dengan satu
syarahan bertajuk ‘Anak Soleh Idaman Ibubapa’ yang disampaikan oleh Muhammad
Afiq Daniel bin Suhaimi. Penyampaian hadiah slot 3 diteruskan untuk Tahun 5 dan
6, Anugerah Kehadiran Penuh dan Anugerah Murid Cemerlang UPSR 2012 yang
disampaikan oleh Tuan Guru Besar, Cikgu Mohd Ranai bin Ismail.
Kemuncak acara adalah penyampaian Anugerah Tokoh Murid.
Berikut adalah senarai pemenang:
Tokoh Murid Lelaki : Muhammad Syahir bin Yahaya
Tokoh Murid Perempuan: Anis Suryanie binti Besar
Tokoh Kokurikulum Lelaki: Ahmad Taufik bin Ab. Wahab
Tokoh Kokurikulum Perempuan: Nurul Syakira binti Zulkifli
Anugerah Khas Ko-Akademik : Muhammad Afiq Daniel bin Suhaimi
Kesemua pemenang dijemput naik ke pentas bersama ibubapa
masing-masing untuk dipakaikan kot oleh orang tersayang. Tokoh-tokoh ini
menerima sejambak bunga, piala, beg sekolah serta sumbangan peribadi dari
penyampai hadiah iaitu YB Dato’ Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman sambil
diiringi oeh Tuan Guru Besar. Suasana bertukar sayu apabila berkumandangnya
lagu ‘Ayah dan Ibu’ dan ‘Kasihnya Ibu‘ yang disampaikan oleh Nur Athirah Izzati
binti Aziz, Anis Suriyanie binti Besar dan Alif Imran bin Aminul Ansar yang
melambangkan pengorbanan ibubapa dalam melahirkan tokoh-tokoh ini.
Dan slot
terakhir penyampaian ialah penyerahan sijil tamat sekolah untuk murid-murid
tahun 6. Sebagai menghargai kehadiran tetamu kehormat, pihak sekolah berbesar
hati menyampaikan cenderahati buat
mereka. Majlis diakhiri dengan jamuan untuk semua hadirin.
Kesimpulannya majlis tahun ini boleh dianggap meriah dan dijalankan dengan
jayanya. Terima kasih diucapkan buat semua yang terlibat secara langsung dan
tidak langsung.
No comments:
Post a Comment